Thứ Hai, 30 tháng 5, 2011

Jemputan Menghadiri Seminar: Social Market Economy: An Alternative for Malaysia?

* 24–25 Jun 2011 * Kayangan Ballroom, Quality Hotel, Shah Alam, Selangor.

Kemelesetan ekonomi dunia yang paling dahsyat sejak Kemelesetan Agung 1930an berikutan dari krisis subprima di Amerika Syarikat mencetuskan perdebatan kritis tentang sistem ekonomi dunia. Persoalan ditimbulkan tentang kestabilan ekonomi pasaran dan tuntutan supaya ditingkatkan peraturan atau regulation kedengaran lantang.

Justeru kerana perdebatan ekonomi didominasi oleh wacana melalui bahasa Inggeris maka yang sering kedengaran adalah belahan dua kumpulan, di satu pihak golongan liberal (dipanggil libertarian di Amerika) dan di satu pihak lagi adalah golongan Keynesian. Golongan liberal mempercayai sistem ekonomi yang ideal adalah sistem pasaran yang berlandaskan ukuran objektif (rule based) dan peranan wewenang atau campur tangan pemerintah adalah minimal. Sementara itu pihak Keynesian bertolak dari prinsip kegagalan pasaran maka peranan pemerintah dalam ekonomi sentiasa diperlukan.

Perdebatan dua kumpulan ini digambarkan dengan begitu menarik dalam video musik Keynes versus Hayek. Namun dunia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaraan wacana hampir tidak mendengar wacana Ekonomi Pasaran Sosial (Social Market Economy) yang berlaku di Jerman sejak 1949, satu variasi ekonomi pasaran tetapi ekonomi pasaran yang berlandaskan matlamat-matlamat sosial. Sistem ini telah menjana ketakjuban ekonomi di Jerman selepas Perang Dunia Kedua dan seterusnya menjadikan Jerman salah satu kuasa besar ekonomi. Kejayaan Jerman untuk keluar lebih awal dari krisis kemelesetan ekonomi dunia menyebabkan dunia mula memberikan perhatian terhadap sistem tersebut.

Hakikat ini juga telah mendorong Institut Kajian Dasar untuk menterjemahkan 60 Years of Social Market Economy (60 Tahun Ekonomi Pasaran Sosial) dan mengadakan seminar pertama di Malaysia tentang sistem tersebut dengan tajuk : Social Market Economy: An Alternative for Malaysia?

Tarikh: 24 – 25 Jun 2011
Tempat: Kayangan Ballroom, Quality Hotel, Shah Alam, Selangor

Kami telah mengundang khas Prof. Dr. Volker Nienhaus seorang pakar Ekonomi Pasaran Sosial untuk mengendalikan seminar dan perbincangan dengan tokoh-tokoh ekonomi di Malaysia. Kami dengan sukacitanya menjemput Y.Bhg YB/Dato’/Datin/Tuan/Puan hadir ke seminar ini. 50 penyertaan awal akan diberikan penginapan. (butiran program turut dilampirkan)

Oleh yang demikian, pihak Y.Bhg YB/Dato’/Datin/Tuan/Puan dimohon untuk memberikan maklum balas kehadiran melalui email ini atau: ikdbudaya@gmail.com atau faks: 03 6028 2257 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Encik Saifuddin di talian 012 2964244/ 03 6028 2262. Kerjasama dan perhatian daripada pihak Y.Bhg /Y.B /Dato’/ Datin/ Tuan/Puan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét