Dari TV Selangor
Oleh Wira Arjuna
Apakah dia tuntutan penganjur Bersih 2.0 yang dipandang oleh polis, Umno (termasuk Pemuda Umno) serta Perkasa sebagai keterlaluan dan memudaratkan keselamatan negara?
Apakah salahnya membenarkan orang ramai, aktivis masyarakat, pemimpin pelajar dan pemimpin politik berkumpul sebelum berarak di dua tiga batang jalan utama Kuala Lumpur dan menyampaikan memorandum secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong?
Jalan-jalan Kuala Lumpur pun kerap ditutup untuk acara maraton, lumba basikal, dan pelbagai perarakan lain. Tidak pula ada laporan polis atau aduan dibuat kononnya peniaga dan pemandu teksi hilang pendapatan. Kenapa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai dianggap begitu berlainan sekali?
Jangan lupa, jalan-jalan Putrajaya ditutup baru-baru ini untuk menghimpunkan sejuta belia yang Perdana Menteri Najib Razak mahu menggunakannya bagi “mempertahankan” singgahsana kuasa politik negara daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat.
Kenapa Umno dan juak-juaknya begitu negatif terhadap Bersih 2.0? Apakah perlunya polis memberikan amaran untuk “bertindak tegas’ terhadap mereka yang menyertai
perhimpunan ini?
Apakah bezanya perhimpunan ini dengan puluhan himpunan-himpunan yang dianjur oleh PAS, Umno, Perkasa dan pertubuhan lain di kedutaan Amerika Syarikat, Britain setiap kali isu Palestin diperjuangkan.
Bersih 2.0 bukanlah tunjuk perasaan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Muhyiddin.
Dan ia jauh sekali untuk mengalih pandangan rakyat daripada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim.
Bersih 2.0 adalah insiatif pertubuhan bukan kerajaan yang dipimpin oleh peguam Ambiga Sreenevasan, seorang aktivis yang mendokong keluhuran Pelembagaan dan hak asasi manusia.
Benar, Bersih disokong oleh parti-parti pembangkang. Namun adalah satu hakikat juga bahawa Ambiga telah beberapa kali menggesa parti-parti BN untuk turut serta menyokong perhimpunan ini kerana :
1. Perhimpunan adalah secara aman
2. Seluruh rakyat mahukan pilhanraya yang telus dan adil, dan parti politik harus memberi sokongan kepada tuntutan ini
3. Semua pihak mahu melihat SPR lebih professional dalam isu-isu seperti tempoh kempen minimum 21 hari, penggunaan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih dan pendaftaran automatik pengundi mencapai umur 18 tahun.
Tidak ada satu pun dalam tuntutan ini yang boleh dikatakan memihak kepada pembangkang mahu pun pemerintah.
Tidak ada satu pun dalam desakan pada perhimpunan Bersih 2.0 akan memberikan sebarang kelebihan kepada Umno mahupun PAS dalam mempengaruhi citarasa pengundi Melayu.
Malaysia jauh daripada ambang kebangkitan rakyat yang menumbangkan Hosni Mobarak di Mesir dan lebih jauh lagi daripada sebarang serangan NATO seperti yang berlaku di Libya.
Namun secara jujur, apakah BN beranggapan rakyat tidak mempunyai sebarang rungutan tentang cara Suruhanjaya Pilihanraya mengendalikan pemilihan di negara ini?
Selepas 12 pilihanraya umum, rasanya tidaklah keterlaluan untuk berharap rakyat tidak lagi diselubungi dengan undi pos yang mencurigakan, atau pengundi hantu dalam daftar pemilih.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét