Dari KeadilanDaily
Penggunaan kaedah biometrik tidak praktikal sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam yang berkata kaedah itu mampu mengesan pengundian berganda, selain menjamin ketelusan.
Suhaizan berkata, kaedah biometrik memerlukan masa untuk diselenggara memandangkan sistem tersebut masih baru diguna di Malaysia dan mempunyai banyak kelemahan.
Menurutnya, penggunaan dakwat kekal adalah lebih praktikal berbanding kaedah biometrik yang melibatkan kos tinggi sehingga mencecah RM3 juta.
“Penggunaan Biometrik ini sebenarnya baik namun saya tak lihat ia praktikal untuk jangka masa pendek. SPR perlu betul-betul bersiap sedia kerana mereka memerlukan peralatan biometrik yang banyak memandangkan tempat mengundi yang banyak,” katanya.
“SPR perlulah membuat kajian terlebih dahulu, kerana saya khuatir mereka tidak akan dapat mengendalikannya dengan baik, lebih-lebih lagi jika pilihan raya diadakan tahun ini,” katanya.
Tambah Suhaizan, suruhanjaya itu juga perlu mengambil kira kemudahan elektrik dan kemampuan sistem berkenaan dilaksana terutama di kawasan luar bandar terutama pedalaman Sabah dan Sarawak.
Ia katanya mungkin menyebabkan berlaku kesesakan dan mengganggu proses pengundian.
Selain itu, katanya, kenyataan Aziz menunjukkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berjaya menekan SPR dalam memastikan pilihan raya telus.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét